arena

'Waspada, elak buat silap'

Oleh Ajitpal Singh dan Nur Hairulnizam Wahid

SEJAK kebelakangan ini seperti menjadi kebiasaan skuad hoki lelaki negara tewas dengan jumlah jaringan besar kepada pasukan yang menduduki ranking ketujuh dunia, England.

Skuad negara yang menduduki ranking ke-12 dunia akan berdepan lawan sama pada aksi pembukaan Kumpulan B di Pusat Hoki Gold Coast, esok.

Dengan sasaran untuk melangkah ke separuh akhir, skuad bimbingan Stephen van Huizen mesti menamatkan saingan di kedudukan kedua terbaik kumpulan yang turut membabitkan India, Pakistan dan Wales.

India dan England adalah dua pasukan pilihan untuk melangkah ke saingan separuh akhir.

Kapten skuad negara, Sukri Mutalib berkata, cabaran utama bertemu England adalah untuk cuba mengurangkan kesilapan dalam semua aspek.

“England sangat pantas dan mempunyai kemahiran tinggi. Mereka akan menghukum kami sekiranya melakukan kesilapan.

“Kami juga perlu berwaspada apabila mereka melakukan serangan di dalam kawasan D.

“Pemain seharusnya tidak mensia-siakan peluang ketika melakukan serangan. Jika kami dapat mengurangkan kesilapan kecil, saya percaya kami akan memperoleh keputusan yang bagus,” katanya.

Untuk rekod, Malaysia memenangi perak dan gangsa masing-masing pada edisi 1998 di Kuala Lumpur dan 2006 di Melbourne.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 4:43pm
d