arena

Imbuhan besar buat Azroy [METROTV]

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz

KERAJAAN negeri mempertimbangkan untuk menghadiahkan lot tanah dan wang tunai kepada pemenang pingat emas angkat berat Sukan Komanwel, Muhammad Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Pahang, Datuk Seri Johari Hussain berkata, hadiah berkenaan sebagai penghargaan kepada anak jati Kuala Rompin itu kerana berjaya mengharumkan nama negara dalam kategori snatch 56 kilogram yang berlangsung di Gold Coast, Australia hari ini.

Beliau berkata, kerajaan negeri sebelum ini pernah menghadiahkan tanah serta wang tunai kepada jaguh silat dunia yang juga kelahiran Bukit Setongkol, Kuantan, Mohd Al-Jufferi Jamari.

“Bagi kerajaan negeri, habuan yang sama akan diberikan kepada Muhammad Azroy atas kejayaannya kerana kemenangan ini amat membanggakan negara. Kami mengucapkan tahniah dan syabas kepada Azroy dan pasukan angkat berat negara. Mereka bukan sahaja mengharumkan nama Malaysia tetapi Pahang juga turut menumpang gembira,” katanya ketika ditemui di rumah keluarga Azroy, di sini, hari ini.

Johari berkata, kemenangan atlet berusia 24 tahun berasal dari Kampung Sepakat, di sini membuktikan daerah Rompin berjaya meneruskan kesinambungan dalam melahirkan ramai atlet angkat berat bertaraf dunia.

“Kerajaan negeri sememangnya komited dalam membangunkan sukan angkat berat di Rompin dengan pelbagai insentif dan program dilakukan sejak 1994. Kejayaan melahirkan jaguh badang negara secara tidak langsung membuktikan segala perancangan dan kerja keras selama ini membuahkan hasil,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 4:53pm
d