arena

Annuar bantu bayar KWSP

Oleh Attirmidzie Rahman

BEKAS Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa menyumbang wang peribadi RM320,000 kepada persatuan itu untuk pembayaran KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja).

Menerusi entri terbaru di Facebooknya, Annuar memaklumkan RM320,000 sudah diserahkan kepada badan induk itu untuk kegunaan pembayaran KWSP dan perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Presiden KAFA, Bibi Ramjani Ilias Khan.

“(Saya) maklumkan kepada Puan Bibi Ramjani (presiden) sumbangan RM320,000 (diserahkan) untuk KAFA menjelaskan bayaran kepada KWSP,” katanya dalam entri terbabit, hari ini.

Annuar yang memegang jawatan Presiden KAFA pada 2008 sehingga 2016 menjulang Kelantan muncul juara ‘treble’ selepas memenangi Piala FA, Piala Malaysia dan mempertahankan kedudukan pertama Liga Super pada 2011.

Pada entri sama, Annuar juga memberitahu beliau berusaha membantu pasukan itu selagi termampu.

“Saya akan terus berusaha membantu sekadar mampu, semoga maju jaya kepada The Red Warriors (TRW),” katanya.

KAFA dikenakan hukuman denda RM500,000 daripada Malaysia Football League (MFL) apabila gagal melengkapkan dokumen pendaftaran pasukan mereka musim ini. Kelantan kini juga sedang giat melakukan rombakan pemain selepas kedatangan ketua jurulatih, Fajer Ebrahim dalam pasukan yang mahukan pemain sesuai dengan corak permainannya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 5:39pm
d