arena

Farizal teruja bertemu PKNP FC

Oleh Asrol Awang

PENJAGA gol FELDA United FC , Farizal Harun teruja memikul tugas mengawal benteng terakhir apabila bertemu PKNP FC pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium Batu Kawan, Sabtu ini.

Pemain berpengalaman itu berkata, The Fighters perlu lebih fokus bagi mengelak gawang dibolosi memandangkan lawan turut cemerlang dalam saingan Liga Super.

“Secara peribadi, saya akui PKNP semakin matang terutama dari segi persefahaman dan keserasian antara pemain import dan tempatan. Semangat berpasukan yang tinggi juga akan menentukan tahap persediaan kami untuk menyekat mereka daripada mencatat kemenangan.

“Setakat ini, segalanya berjalan lancar dan FELDA United yang sudah berada pada saingan suku akhir mahu meneruskan misi ke pusingan seterusnya,” katanya.

Mengulas sesi latihan yang diawalkan setengah jam iaitu pada 4.30 petang berbanding 5 petang, Farizal berkata, ia diharap dapat meningkatkan tahap persediaan pemain ketika beraksi pada waktu petang.

Katanya, biarpun sudah biasa beraksi petang pada saingan Liga Perdana, cabaran pada suku akhir Piala FA lebih mencabar dan mendebarkan.

“Berbekalkan perancangan rapi jurulatih (B Sathianathan), saya percaya keputusan positif akan diraih untuk menghalang PKNP daripada beroleh kemenangan.

“Saya percaya kemenangan akan menjadi milik FELDA United sebagai bekalan apabila bertemu pada suku akhir kedua di Jengka, Pahang nanti,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 6:00pm
d