arena

Zaqhwan janji gegar Jepun

Oleh Sukhairi Thani

PELUMBA negara, Zaqhwan Zaidi yang beraksi di Kejuaraan Motosikal Seluruh Jepun sudah bersedia memberi saingan sengit pada penampilan pertamanya dalam kelas JSB1000 di Sirkit Twin Ring Motegi, Jepun pada Sabtu dan Ahad ini.

Perlumbaan yang mula dianjur pada 1967 itu bakal menyaksikan Zaqhwan berentap dengan bekas pelumba Jepun yang pernah membuat kemunculan di kejuaraan berprestij MotoGP antaranya Yuki Takahashi dan Takuya Tsuda.

Namun, Zaqhwan Honda yang beraksi bersama pasukan Asia-Dream Racing menegaskan dia tidak gentar dan bertekad memberi saingan sengit.

“Ramai pelumba yang pantas di sini,” kata Zaqhwan yang pernah beraksi sebanyak enam pusingan dalam kelas Moto2 Kejuaraan Motosikal Dunia 2015.

“Sasaran saya untuk cuba berada dalam kelompok lima atau 10 terbaik. Sasaran itu realistik berdasarkan ramai pelumba terkemuka turut berlumba. Apapun, saya akan cuba yang terbaik dan terus memberi saingan kepada mereka.”

Zaqhwan, melakar sejarah tersendiri apabila muncul selaku pelumba pertama negara yang beraksi sepenuh musim di kejuaraan yang berlangsung negara matahari terbit itu.

Selain Kejuaraan Seluruh Jepun, pelumba berusia 22 tahun itu juga dijadual menyertai perlumbaan Endurance 8 Jam Suzuka pada tahun ini sebelum menyertai kelas baharu di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), ASB1000 tahun depan.

Takumi Takahashi dari pasukan HRC akan tampil selaku juara bertahan dengan menggunakan jentera Honda CBR 1000 RRW.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 6:24pm
d