arena

Nazliazmi dapat sokongan ASFC

Oleh Syafiq Aznan

PELANTIKAN Nazliazmi Nasir selaku pengendali Selangor diyakini mampu memberi dimensi baharu buat pasukan itu selepas berdepan masalah prestasi merudum sebelum ini.

Pelantikan beliau turut mendapat sokongan Kelab Penyokong Anak Selangor (ASFC) yang mengakui bekas jurulatih Piala Presiden itu seakan memiliki magis sekali gus mengharapkan sentuhannya akan terus menjadi untuk membawa kejayaan buat pasukan itu.

“Sedikit perubahan yang dilakukan pada pusingan ketiga Piala FA bertemu Terengganu FC membuktikan Nazliazmi berani mencuba sesuatu yang baru. Perancangannya membolehkan Selangor bangkit meraih kemenangan walaupun pernah dibelasah lawan 4-1 pada aksi liga di gelanggang sama.

“Malah saya juga melihat keserasian pemain semakin baik di bawah kendalian Nazliazmi. Sudah tentu kami menagih corak permainan berbeza berbanding pendekatan yang digunakan oleh jurulatih sebelum ini.

“Apa pun, kami akan terus memberi sokongan kepada Nazliazmi dan jurulatih lain. Dengan kombinasi Nazliazmi bersama bekas pemain, Rusdi Suparman selaku pembantu jurulatih, kami yakin mereka dapat mencipta sesuatu yang positif buat pasukan ini,” kata Presiden ASFC, Mohd Faizal Wahid.

Kelmarin, Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) membuat keputusan menaikkan pangkat Nazliazmi sebagai jurulatih Selangor berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan P Maniam yang direhatkan pada 14 Mac lalu.

Ia keputusan agak mengejutkan apabila bekas pemain skuad Merah Kuning, Rusdi yang dikatakan kembali untuk mengisi kekosongan itu hanya diberikan kontrak sebagai penolong jurulatih.

Sebelum ini, kekalahan tiga kali berturut-turut dalam aksi Liga Super dan dibolosi 10 gol dalam tiga perlawanan itu menyaksikan Maniam direhatkan dengan Nazliazmi mengambil alih tugas bagi pusingan ketiga Piala FA bertemu Terengganu bulan lalu.

Nazliazmi tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan kepercayaan FAS dan penyokong apabila membimbing pasukan meraih kemenangan 3-1 ke atas Terengganu sekali gus mara ke suku akhir.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 7:02pm
d