arena

Aksi terakhir Kuantan FA

Oleh Firdaus Hashim

SAINGAN Liga Malaysia yang hanya baru mengharungi lima aksi musim ini bakal menerima tamparan hebat apabila sudah ada pasukan yang berhasrat untuk menarik diri ekoran kegagalan pasukan membayar gaji pemain dan pegawai pasukan.

Selepas 'mengunci mulut' hampir empat bulan, akhirnya pengendali Marcerra Kuantan FA, Ismail Zakaria tampil mendedahkan bahawa aksi keenam dalam kempen Liga Perdana bertemu Pulau Pinang Selasa ini kemungkinan tanpa khidmatnya dan pemain lain yang berhasrat meninggalkan pasukan hujung minggu ini.

Jelasnya, kegagalan pengurusan pasukan menyelesaikan gaji hampir empat bulan nyata mengganggu fokus dan emosi pemain, ditambah pula dengan kesukaran untuk bergerak ke venue perlawanan disebabkan ketiadaan peruntukan selain terpaksa berlatih ‘curi-curi’ kerana tiadanya pada latihan.

“Saya pun dah buat keputusan, di mana pasukan ini hanya akan bertahan hingga hari Sabtu ini saja dan lepas itu kita kena berpisah.

“Kami terpaksa angkat kaki sebab tak ada jalan penyelesaian lagi. Saya tengok setakat ini pun pihak pengurusan langsung tidak ambil berat dan peduli, sama ada makan atau tak pemain-pemain ini.

“Kesian kepada mereka kerana dah nak masuk empat bulan tak dapat gaji. Lagipun sudah ada enam atau tujuh pemain sedia diambil pasukan lain dalam saingan Liga FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” katanya kepada Sukan NSTP, hari ini.

Menerusi pendedahan awal Sukan NSTP pada 9 Mac lalu, difahamkan beberapa pemain Marcerra Kuantan FA terpaksa meminjam duit rakan dari pasukan lain selepas majikan mereka gagal melunaskan gaji tertunggak selama tiga bulan.

Biarpun malu dan segan untuk meminjam, pemain terpaksa menebalkan muka kerana mereka juga mempunyai keluarga serta rumah dan kereta yang wajib dibayar.

“Kami saja memilih Sabtu ini yang kebetulan jatuh pada tarikh 7 April kerana setiap pasukan dalam liga tempatan disyaratkan untuk membayar gaji pemain sebelum atau pada setiap tujuh haribulan.

“Jika ada gaji atau tidak pada tarikh itu, kami tetap meninggalkan pasukan dan akan mengadakan majlis perpisahan pada Ahad ini. Saya akan jemput PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) dan peguam sekali dalam majlis itu,” katanya yang turut menyalahkan FAM kerana gagal menangani isu ini dari awal.

Sekiranya sah kelab berkenaan menarik diri daripada bertanding, ianya pasti mengundang masalah besar kepada pengendali liga tempatan iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang perlu merombak semula jadual selain adakah keputusan aksi Marcerra Kuantan FA sebelum ini tetap diambil kira oleh penganjur.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 9:50pm
d