arena

'Tahniah bang ngah'

Oleh Izzali Ismail

ALOR SETAR: “Kepada bang ngah (Aznil), anak mak. Terima kasih dan tahniah di atas kejayaan ini. Itu yang mak doakan.”

Demikian ungkapan Haslina Hamzah, 46, ibu kepada Muhammad Aznil Bidin yang meraih emas kedua negara dalam acara angkat berat kategori 62 kilogram (kg) di Sukan Komanwel Gold Coast petang tadi.

Haslina yang mengalirkan air mata kesyukuran berkumpul bersama keluarga dan Persatuan Angkat Berat Kedah sejak jam 4.30 petang di sebuah kedai makan di Anak Bukit untuk menyaksikan siaran langsung acara itu yang berlangsung di Carrara Sports dan Leisure Centre.

“Terima kasih kepada semua. Sebelum bertolak dia pesan supaya saya sebagai ibu berdoa untuk kejayaan dia dan saya iringi dengan doa, bacaan Yasin dan puasa sehingga ke hari ni.

“Alhamdulillah...ini hadiah tak ternilai buat kami sekeluarga yang mengharapkan kutipan pingat sumbangan Aznil untuk negara akhirnya tercapai,” kata Haslina.

Sementara itu, bapa Aznil, Bidin Yaacob 50, turut berasa lega selepas Aznil menewaskan pencabar terdekat, Morea Baru dari Papua New Guinea yang memberi saingan hebat dalam kategori itu.

“Selepas Aznil meraih tempat ke-4 pada temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur tahun lalu, saya bangga dan bersyukur dia terus tingkatkan usaha dan menempa kejayaan dengan mencapai pingat emas di Sukan Komanwel di Gold Coast kali ini.

“Bakat dia mula dikesan sejak remaja lagi ketika belajar di sekolah sukan negeri, SMK Tunku Anum Tunku Abdul Rahman dan seterusnya di Sekolah Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur.”

“Kami sekeluarga akan menantikan kepulangan Aznil dan kami merancang untuk mengadakan kenduri kesyukuran bagi meraikan kejayaannya,” katanya.

Disiarkan pada: April 5, 2018 @ 11:56pm
d