arena

Silau punca Caroline gagal mara

Oleh Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast

SILAU matahari mengganggu momentum perenang negara, Caroline Chan sekali gus membuatnya gagal mencatat rekod peribadi terbaik acara 100 meter kuak lentang wanita pada Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Pusat Akuatik Optus hari ini.

Caroline, 23, merekod 1:05.94 saat, yang mana ketinggalan 0.44s berbanding catatan terbaiknya dalam saringan dua, yang dimenangi perenang Australia, Kaylee McKeown dengan 1:00.65s.

Catatan itu juga tidak memberikannya tiket ke pusingan separuh akhir yang hanya diberikan kepada 20 perenang terbaik.

Perenang kelahiran Selangor itu mengakui dia merasa sangat gementar beraksi dalam penampilan temasya yang pertama dan berharap dapat membaiki kelemahannya pada acara 50m kuak lentang pada Isnin ini, yang mana rekod kebangsaan miliknya dengan catatan 29.51s.

“Renangan hari ini tidak berapa baik. Pastinya saya mahu berenang lebih pantas dan saya agak kecewa,” kata Caroline.

“Kebanyakan masa saya berlatih di kolam renang tertutup di Malaysia dan biarpun kami tiba seminggu lalu di sini untuk membiasakan diri dengan kolam renang terbuka, ia masih sangat sukar buat saya.

“Ia menjadi masalah buat kami perenang acara kuak lentang kerana kami perlu melihat ke atas dan berenang. Pancaran matahari menusuk terus masuk ke mata saya hari ini dan saya tidak dapat mengagak sama ada saya berenang lurus atau tidak di kolam renang,” katanya.

Rakan senegara, Welson Sim yang melayakkan diri ke final 400m gaya bebas lelaki semalam, juga tidak dapat membaiki rekod kebangsaan miliknya apabila mencatatkan dua saat lebih lewat berbanding rekod kebangsaannya dalam acara 200m gaya bebas hari ini.

Perenang berumur 21 tahun itu merekodkan 1:49.58s untuk menamatkan saingan di peringkat saringan dan 16 keseluruhan, sekali gus gagal ke final.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 12:37pm
d