arena

Kalang Tie putih mata

Oleh Rodly Fadly

JOSEPH Kalang Tie terpaksa menggigit jari kerana tidak dapat beraksi apabila Selangor menentang Kuala Lumpur pada suku akhir pertama Piala FA di Stadium PBKL, Cheras, malam esok ekoran belum pulih daripada kecederaan.

Joseph yang mengalami kecederaan paha kiri ketika membantu The Red Giants mengalahkan Terengganu FC 3-1 pada pusingan ketiga Piala FA berkata, situasi itu agak mengecewakan pada ketika dia baru sahaja menemui rentak permainan.

“Saya mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri dengan pasukan Selangor apatah lagi mengalami kecederaan pada awal musim sehingga terlepas beberapa perlawanan. Ketika pertama kali diturunkan pada pusingan kedua Piala FA menentang MOF (FC), saya baru hendak mencari rentak serta keserasian bersama rakan sepasukan.

“Kemudian, saya mula mendapat keyakinan apabila diturunkan menentang Perak. Walaupun kami tewas pada perlawanan itu, namun saya berpuas hati dengan persembahan sendiri.

“Ketika menentang Terengganu, saya sudah mendapat rentak, keyakinan serta keserasian. Tapi, agak malang, kecederaan pula melanda sehingga saya terlepas perlawanan malam esok,” ujar Joseph.

Walau bagaimanapun, Joseph yakin ketiadaannya tidak akan menjejaskan misi Selangor kerana mereka masih mempunyai ramai pemain yang boleh disandarkan harapan.

“Selepas kejayaan ke atas Terengganu, moral pemain sangat tinggi. Saya yakin kami sudah bersedia untuk menghadapi Kuala Lumpur walaupun ia perlawanan sukar,” kata Joseph sambil berharap sempat pulih menjelang suku akhir kedua pada 21 April depan.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 3:39pm
d