arena

'Rahsia KL dalam tangan'

Oleh Aziman Rosdi

 

 

KEHADIRAN Rusdi Suparman bersama barisan kejurulatihan Selangor dilihat tepat pada masanya menjelang pertembungan suku akhir pertama Piala FA dengan Kuala Lumpur di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras esok.

   Rusdi yang meninggalkan Kuantan FA selepas ditawarkan tugas selaku penolong jurulatih oleh Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), pernah menjadi pembantu kepada jurulatih Kuala Lumpur, Fabio Maciel musim lalu sehingga berjaya menjuarai Liga Perdana.

   Jelas bekas penyerang kebangsaan itu cukup mengenali barisan pemain Kuala Lumpur yang bakal dihadapi skuad Red Giants esok.

   "Memang ada sedikit kelebihan kerana saya pernah membimbing Kuala Lumpur sebelum ini. Saya tahu kemampuan pemain tapi aksi di atas padang berbeza juga. Dengan pengalaman, maklumat yang saya ada, mungkin boleh membantu pasukan Selangor," katanya.

   Rusdi,45, bekas penyerang Selangor bakal membantu jurulatih Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir yang dinaikkan pangkat oleh FAS Selasa lalu.

   Beliau nyata tidak berkecil hati biarpun pada awalnya dikatakan bakal menggantikan P Maniam yang direhatkan susulan kemerosotan prestasi pasukan.

   "Saya tak rasa terkilan, saya meletakkan kepentingan Selangor lebih utama. Misi kami untuk meletakkan Selangor di landasan betul bagi mengecapi kejayaan. Peminat dahagakan kejayaan.

   "Saya pernah bersama Nazliazmi membimbing skuad Piala Presiden Selangor 2013, jadi ia bukan masalah. Saya berharap kami boleh melakukan sesuatu untuk memastikan kemenangan Selangor Sabtu ini," katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 6:05pm
d