arena

PKNP tanpa tiga tonggak

PKNP tempang lawan FELDA

Oleh Azizan Hashim

IPOH: Hasrat kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC menurunkan kesebelasan terbaik ketika melayani kunjungan FELDA United FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala FA di Stadium Negeri di Batu Kawan, Pulau Pinang, petang esok, tidak kesampaian.

Ini kerana tuan rumah hampir pasti tidak dapat menurunkan tiga tonggak iaitu kapten, Shahrel Fikri, Hafiz Ramadan serta pemain import, Franklin Anzite Clovis akibat kecederaan.

”Ketiadaan trio itu merencatkan perancangan pasukan bagi menghadapi perlawanan ini. Kami turun ibarat orang tempang untuk menghadapi gergasi gagah. Perlawanan ini ibarat pertembungan antara David dengan Goliath. Saya berharap pemain tidak gugup dan yang diturunkan mampu bermain permainan biasa mereka,” kata jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim.

Bakar berkata, dia sudah mengingatkan pemain terhadap tanggungjawab serta perlunya sentiasa fokus terhadap perlawanan.

Menurut jurulatih muda itu, pasukan bimbingan jurulatih B Sathianathan serba lengkap di setiap posisi dan PKNP FC tidak boleh alpa sedikit pun.

”Sedikit kealpaan akan pasti dihukum pasukan pelawat. FELDA pasukan yang hampir sempurna di semua posisi. Mereka adalah pasukan pilihan. Walaupun mereka beraksi dalam Liga Perdana tetapi sebenarnya memiliki DNA Liga Super,” katanya.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 6:30pm
d