arena

Nafiizwan, Nicol ke suku akhir

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

NICOL David mempamer aksi kurang meyakinkan pada dua set awal pusingan kedua Sukan Komanwel hari ini sebelum menempah tempat ke suku akhir di Oxenford Studios. 

Pemain yang menduduki ranking kesembilan dunia itu terpaksa berhempas pulas sebelum dapat menewaskan Samantha Cornett yang menduduki ranking ke-33 dunia 20-18, 8-11, 11-7, 11-3 sekali gus bakal bertemu Alison Waters dari England, esok. 

Aksi bertenaga Samantha mengejutkan Nicol yang juga pilihan ketiga sebelum dia bangkit mempamerkan aksi sebenar. 

"Dia beraksi baik dan saya gagal mendapatkan rentak dalam dua set pertama. 

"Bagaimanapun, saya mula beraksi dengan baik di set ketiga. Saya cuba membuat hayunan lebih kuat. 

"Saya perlu menyesuaikan diri beraksi di gelanggang hari ini selepas beraksi di gelanggang kaca sebelum ini," kata Nicol yang bakal menyambut ulang tahun kelahiran ke-35, Ogos depan.  

Nicol menjangkakan perlawanan bertemu Alison lebih sukar. 

"Saya sudah bertemu Alison banyak kali. Sudah pasti amat menarik apabila bertemu dengannya sekali lagi di suku akhir," katanya. 

Rakan senegara, Aiza Azman dan S Sivasangari seperti dijangka gagal melepasi pusingan kedua. 

Aiza tewas 7-11, 1-11, 11-6, 8-11 kepada wakil Wales, Tesni Evans sementara Sivasangari tunduk di tangan pemain New Zealand, Joelle King, 3-11, 11-9, 7-11, 3-11. 

Dalam kategori lelaki, Nafiizwan Adnan melangkah ke suku akhir tanpa perlu turun beraksi selepas lawannya dari Australia, Ryan Cuskelly menarik diri kerana cedera. 

Pemain yang menduduki ranking ke-35 dunia itu akan bertemu Nick Matthew dari England dengan seorang lagi wakil negara, Ivan Yuen pula gagal mengikut jejak langkahnya apabila tewas 5-11, 6-11, 4-11 kepada Paul Coll dari New Zealand.

Disiarkan pada: April 6, 2018 @ 9:32pm
d