arena

'Aksi 'gila' seperti itu? Tak mungkin'

Oleh AFP

LOS ANGELES: Zlatan Ibrahimovic memberi peringatan kepada penyokong Los Angeles Galaxy supaya jangan terlalu berharap dia mampu mengulangi aksi luar biasa menjelang pertembungan dengan Sporting Kansas City, esok.

Bintang Sweden itu membuat penampilan sensasi ketika tampil kali pertama dalam saingan Major League Soccer (MLS) selepas meledak dua kali, apabila masuk sebagai pemain simpanan ketika membantu Galaxy bangkit menumbangkan Los Angeles FC, 4-3 di StubHub Center.

Penyerang berusia 36 tahun itu menjaringkan gol jarak jauh (35 kaki) menerusi sepakan volley untuk gol penyamaan sebelum meledak gol kemenangan pada masa kecederaan.

Ketika itu, Galaxy ketinggalan 0-3, namun Ibrahimovic membuktikan sumbangannya cukup penting bagi membantu pasukan meraih tiga mata penuh.

Kini Ibrahimovic bimbang penyokong masih mengharapkan aksi yang sama daripadanya ketika Galaxy menanti kunjungan pendahulu, Kansas City.

“Aksi ‘gila’ seperti itu?...saya rasa tidak mungkin,” kata Ibrahimovic .

“Saya berharap kami akan mengawal perlawanan dengan lebih baik, dan beraksi secara tersusun. Tunggulah. Saya akan mencuba yang terbaik pada setiap perlawanan dan akan membantu rakan sepasukan untuk menang.

“Saya tidak menjangkakan aksi luar biasa pada setiap perlawanan. Saya akan mencuba, tetapi ia bukannya berlaku sepanjang masa,”

Ibrahimovic yang menyertai Galaxy dari Manchester United dengan kontrak dua tahun bermula bulan lalu berkata, dia mahu melupakan aksi cemerlang minggu lalu dan mahu fokus kepada perlawanan akan datang.

“Perlawanan itu sudah berlalu, dan tumpuan kali ini ialah aksi pada Ahad,” katanya.

“Jadi, kita perlu fokus kepada perlawanan itu, bukannya perlawanan minggu lalu. Bawa prestasi positif itu ke dalam perlawanan akan datang dan perbaiki perkara yang negatif,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 9:32am
d