arena

'Memang saya tolak Pogba'

Oleh AFP

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City diberi peluang menandatangani pemain Manchester United, Paul Pogba pada perpindahan Januari lalu, dedah Pengurus City, Pep Guardiola.

“Saya kata tidak. Kami tiada wang untuk membeli Pogba kerana dia sangat mahal,” kata Guardiola kepada wartawan semalam ketika dia mengkritik apa dilakukan ejen, Mino Raiola.

Guardiola menegaskan, Raiola turut menawarkan pemain tengah United, Henrikh Mkhitaryan sejurus sebelum perpindahan pemain itu ke Arsenal sebagai sebahagian pertukaran bagi mendapatkan Alexis Sanchez.

City akan menang gelaran Liga Perdana musim ini jika mereka menewaskan pasukan tangga kedua United di Etihad awal pagi esok.

Tiada dakwaan United memberikan kebenaran buat Pogba – yang ditandatangani dengan rekod perpindahan kelab sebanyak 89 juta pound (RM485.20 juta) dari Juventus pada 2016 untuk ditawarkan kepada City.

Kemarahan Guardiola disasarkan kepada Raiola dengan kedua-duanya sudah berbalah sejak berada di Barcelona.

Perbalahan itu tercetus dua minggu lalu apabila Raiola menggelar Guardiola “kosong”, “pengecut” dan  “anjing” selepas bekas penyerang United, Zlatan Ibrahimovic, seorang daripada pelanggannya, berhijrah dari Old Trafford bagi menyertai LA Galaxy dalam saingan Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat.

Raiola sudah lama percaya Guardiola memaksa Ibrahimovic keluar dari Barcelona pada 2011, setahun sebelum mereka menang Liga Juara-Juara – kejohanan yang tidak pernah dimenangi pemain Sweden itu. 

“Akhirnya, orang tahu rahsia saya – saya orang jahat, saya pengecut,” kata Guardiola dalam nada mengejek.

 

“Jadi jika saya orang yang jahat, dia (Raiola) perlu mempertahankan pemainnya, jadi dia mesti tahu, dia tidak boleh membawa pemain kepada saya, yang juga seekor anjing.” - AFP

 

 

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 10:11am
d