arena

'Jangan hukum kak Bibi'

Oleh Attirmidzie Rahman

“JANGAN terburu-buru hukum kami,” itu reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Bibi Ramjani Ilias Khan, selepas pemain tengah, S Veenod tidak berpuas hati apabila digugurkan pada jendela perpindahan kedua.

Bibi Ramjani menegaskan, pemain berusia 31 tahun itu tidak seharusnya menyalahkan KAFA kerana keputusan berkenaan sudah diteliti berdasarkan prestasi semasa bersama pasukan.

Malah pemain yang digugurkan sudah diberi peringatan meningkatkan prestasi dan jika gagal, mereka akan dikenakan tindakan seperti dipersetujui dalam kontrak.

“Saya sudah hubungi dia (Veenod) Rabu lalu untuk berjumpa dan berbincang mengenai perkara ini, tetapi dia memaklumkan masih bercuti di Pulau Pinang.

“Memandangkan saya juga mempunyai urusan dan perlu berangkat ke China, saya meminta (Ketua Jurulatih), Fajer Ebrahim untuk sampaikan kepadanya, tetapi mungkin belum diberitahu memandangkan pasukan mempunyai perlawanan persahabatan pada hari sama.

“Tetapi sebelum membuat keputusan itu, KAFA sudah beberapa kali memberinya surat peringatan supaya meningkatkan prestasi. Kami tidak teragak-agak menamatkan kontrak jika prestasinya belum memuaskan.

“Jadi tidak perlu dia terburu-buru memberi kenyataan kerana perkara ini seharusnya sudah difahami, malah jika ada perkara perlukan penjelasan, dia sepatutnya rujuk kepada KAFA atau berbincang dengan saya,” katanya ketika dihubungi.

Kelantan yang melalui proses rombakan pasukan kini mengugurkan beberapa pemain susulan ketidakserasian dengan corak permainan Fajer.

Vennod yang baru diikat musim ini tidak terlepas daripada senarai pemain yang digugurkan badan induk itu bersama pemain import Brazil, Bruno Lopes; pemain import Indonesia, Ferdinand Sinaga; penyerang, Norfarhan Muhammad (dipinjamkan) Rozaimi Azwar, Faizol Nazlin Sayuti, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman, Tengku Qayyum Ubaidillah dan Hattaphon Bun An.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 12:26pm
d