arena

JDT tekad jerat Tok Gajah

Oleh Asrol Awang

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) berjanji akan tampil beraksi lebih baik untuk meraih kemenangan ke atas Pahang, apabila kedua-dua bertembung pada suku akhir kedua Piala FA, 20 April ini.

Keputusan seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama piala itu malam tadi, tidak seperti yang diharapkan kerana misi Harimau Selatan adalah mencatat kemenangan untuk bekalan awal atau sekurang-kurangnya meledak gol di laman lawan.

Jurulatih JDT, Raul Longhi yang sedikit kecewa dengan keputusan malam tadi menegaskan, kemenangan sepatutnya berpihak kepada skuad kendaliannya kerana lebih menguasai permainan terutama pada separuh masa pertama.

“Saya lebih gembira jika kami menang, tetapi pemain gagal membolosi gawang tuan rumah kerana memiliki sekurang-kurang tiga peluang berbuat demikian.

“Pemain sudah berusaha untuk bermain dengan baik dan memenangi perlawanan tetapi digagalkan oleh lawan,” kata jurulatih berasal dari Argentina itu.

Jadi, beliau mahu pemainnya dapat memanfaatkan peluang beraksi di laman sendiri untuk mara ke pentas separuh akhir.

“Jentera serangan juga diharap lebih berbisa untuk mencatat kemenangan dan mara ke separuh akhir,” katanya.

Pada perlawanan itu, peluang terbaik JDT hadir menerusi sepakan percuma kapten, Safiq Rahim tetapi bola terkena palang walaupun penjaga gol tuan rumah, Helmi Eliza Elias sudah tertewas pada minit ke-39.

Namun, Harimau Selatan yang memiliki rekod bersih di Larkin sudah pasti memiliki kelebihan untuk menafikan Pahang daripada menempah slot separuh akhir piala berprestij itu.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 12:52pm
d