arena

Bruno serasi bersama Penyu

Oleh Faizul Azlan Razak

BEKAS tonggak utama Terengganu FC II (TFC II), Bruno Junichi Suzuki mengakui dia tidak berdepan masalah besar menyesuaikan diri dengan cepat bersama pasukan utama, Terengganu FC (TFC).

Malah, kehadiran penyerang berusia 27 tahun itu dalam skuad Penyu juga akan menyatukan semula gandingannya dengan Andrew Lee Tuck ketika mereka menyarung jersi Negeri Sembilan, musim lalu.

Pemain kelahiran Brazil yang memiliki kerakyatan Jepun menyertai skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim sebagai pertukaran dengan awang import kelahiran Korea Selatan, Lee Jun-hyeob.

Suzuki berkata, dia bersedia menyahut cabaran membantu TFC mencapai sasaran sekurang-kurangnya memenangi satu piala pada musim ini.

Katanya, TFC memiliki pemain berkualiti seperti ketua pasukan, Kipre Tchetche selain kemampuan Tuck sebagai perancang utama di bahagian tengah.

“Saya tidak ada masalah untuk bekerjasama dengan pemain TFC kerana sudah mengenali sebahagian daripada mereka.

“Cuma sekarang, saya akan mencari keserasian dengan corak permainan diterapkan Irfan Bakti bagi menambah sengat di jentera serangan TFC,” katanya.

Bahkan, Suzuki mengakui dia tidak sabar untuk memulakan aksi sulung bersama TFC di saingan Liga Super selepas bermain di Liga Perdana musim lalu dan awal musim ini.

“Saya yakin aura bermain dalam Liga Super pasti berbeza berbanding Liga Perdana. Jadi, saya mahu gaya permainan juga dapat meningkat dan menyerlah,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 1:37pm
d