arena

Pelumba tempatan beri cabaran SCKLM

Oleh Jumiati Rosly

EDISI ke-10 perlumbaan KL Maraton Standard Chartered (SCKLM) 2018 akan menyaksikan saingan sengit dikalangan pelumba tempatan pada perlumbaan yang akan berlangsung esok.

Pemenang tiga kali berturut-turut kategori pelumba Malaysia lelaki, Muhaizar Mohamad sekali lagi akan menjadi tumpuan serta tidak ketinggalan Leo Tan, Nik Fakaruddin dan Ow Yong Jin Kuang yang sering menyerlah dalam perlumbaan maraton di negara ini.

"Apa yang menarik, kesemua 10 pelari terbaik dalam kategori pelumba tempatan pada tahun lalu akan kembali beraksi pada tahun ini," kata Pengarah penganjur, Dirigo Events and Project Director, Rainer Biemans.

"Saya gembira dengan penyertaan mereka pada kali ini dan yakin kualiti pelumba tempatan semakin meningkat terutama persaingan antara Muhaizar dan Leo yang mencipta minat dan galakan bagi pelumba tempatan lain."

Tiga pelumba tempatan, Muhaizar, Leo dan Nik Fakaruddin berada dalam prestasi terbaik apabila mereka baru sahaja menyertai Tokyo Maraton pada 26 Februari lalu sekaligus memperbaharui catatan peribadi terbaik masing-masing.

Leo, yang juga seorang jurutera berpangkalan di Taiwan berjaya mendahului pelumba Malaysia lain di Tokyo dengan mencatatkan 2 jam 25 minit dan 28 saat bagi membaiki rekod 2:28.19s yang dilakukannya pada edisi terdahulu.

Muhaizar, yang menamatkan kemarau pingat emas selama 44 tahun negara dalam Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, menyertai Tokyo Maraton buat kali pertama dan berjaya membaiki rekod yang dilakukan pada Sukan SEA dengan 2:27.21s.

Pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), komando tentera berumur 32 tahun itu merekodkan 2:31.52s.

Seorang lagi anggota tentera, Nik Fakaruddin juga berjaya mencatatkan masa terbaik peribadi terbaik dengan 10 minit lebih awal bagi melakukan 2:31.01s di Tokyo pada penampilan pertamanya dalam acara maraton di luar negara.

Seramai 35,000 peserta bakal menyertai SCKL 2018 yang akan bermula dan tamat di Dataran Merdeka dengan perlumbaan maraton akan bermula pada jam 4 pagi. 

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 1:47pm
d