arena

Nafiizwan ketepikan idola

Oleh Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

NAFIIZWAN Adnan melakar kejutan terbesar dalam acara perseorangan lelaki skuasy Sukan Komanwel Gold Coast 2018 apabila dia menewaskan idolanya dan juara dunia dua kali, Nick Matthew dari England untuk mara ke separuh akhir, hari ini.

Pilihan ketiga, Datuk Nicol David turut mara ke separuh akhir perseorangan wanita selepas mengatasi pemain England, Alison Waters.

Pemain ranking ke-35 dunia, Nafiizwan berjuang selama 81 minit bagi merekod kemenangan sensasi 11-7, 6-11, 10-12, 11-4, 11-6 ke atas pilihan utama yang juga pemain di kedudukan ke-12 dunia, Matthew.

Kejayaan itu menyaksikan dia muncul pemain kedua negara selepas Azlan Iskandar (edisi 2010 di New Delhi) berjaya mara ke separuh akhir perseorangan lelaki.

“Matthew adalah idola saya. Bukan mudah untuk menewaskannya, tapi saya berjuang habis-habisan kerana matlamat utama saya adalah untuk menyamai rekod Azlan mara ke separuh akhir.

“Saya bangga dapat melakukannya di sini,” kata Nafiizwan.

Walaupun Matthew bangkit apabila memenangi set keempat tetapi Nafiizwan kekal fokus dan strategi yang digunakannya pada set penentuan membuahkan hasil untuk mencatat kemenangan terbesar sepanjang kerjayanya.

“Saya lihat reaksi Matthew agak perlahan di set kelima. Dia mengalami masalah hamstring dan saya mengambil kesempatan berikutan situasi itu.

“Saya beritahu diri sendiri supaya fokus satu demi satu mata. Saya bekerja keras dan berjanji kepada diri sendiri betapa ini mungkin hari saya,” katanya.

Nafiizwan yang menjuarai Terbuka Manitoba bulan lalu akan berdepan pilihan keempat yang juga pemain ranking ke-14 dunia, James Willstrop dari England bagi perebutan tempat ke final, esok.

Sementara itu, Nicol yang juga juara dua kali bangkit daripada ketinggalan dua set untuk menewaskan Alison 7-11, 11-13, 11-9, 11-9, 12-10 dalam tempoh 61 minit.

Dia akan bertemu sama ada pemain New Zealand, Joelle King atau Joshna Chinappa dari India pada separuh akhir esok.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 7:57pm
d