arena

England penghalang ke final

Oleh Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

DATUK Lee Chong Wei akan mengetuai cabaran Malaysia berdepan England pada separuh akhir acara berpasukan campuran Sukan Komanwel Gold Coast 2018 di Kompleks Sukan Carrara, esok.

Malaysia yang turun dengan misi memburu gelaran juara buat kali keempat berturut-turut, menang 3-0 ke atas Scotland pada suku akhir hari ini namun perlawanan berlangsung lebih lama daripada yang diramalkan apabila beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dipaksa beraksi hingga tiga set dalam perlawanan pertama.

Peng Soon-Liu Ying tewas set pertama sebelum menang 14-21, 21-18, 21-15 ke atas gandingan Adam Hall-Julie MacPherson.

Chong Wei yang juga pemenang pingat perak Olimpik tiga kali, hanya mengambil masa 36 minit bagi menewaskan Kieran Merrilees 21-14, 21-16 dalam perseorangan lelaki sebelum beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong mengutip mata kemenangan hasil kejayaan menumbangkan Alexander Dunn-Hall 21-10, 21-15.

England turut menang selesa dalam laluan ke separuh akhir apabila menewaskan Kanada 3-0 dan pertembungan dengan Malaysia esok akan menyaksikan persaingan hebat dalam acara beregu lelaki dan beregu campuran.

Chong Wei yang akan berdepan Rajiv Ouseph esok bertekad untuk mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas lawannya itu.

“Saya sudah banyak kali menentang Rajiv dan saya tidak pernah tewas. Saya harap saya boleh menang lagi esok.

“Saya hanya perlu fokus kepada proses pemulihan dan bersedia dengan segala kemungkinan.

“Apa pun ini bukan saingan individu. Rakan sepasukan saya juga perlu menyumbang mata untuk pasukan dan sekali gus layak ke final,” katanya.

Sementara itu, India mara ke separuh akhir selepas menewaskan Mauritius 3-0 dan akan berdepan Singapura yang menundukkan Australia dengan keputusan sama.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 8:07pm
d