arena

MCFA nyata sokongan kepada Hamidin

Oleh Zulfaizan Mansor

PERSATUAN Bolasepak Cina Malaysia (MCFA) muncul ahli gabungan kelapan menyokong Datuk Hamidin Mohd Amin sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Berdasarkan laporan sebelum ini, enam daripada 20 ahli gabungan - Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP), Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Persatuan Bolasepak Selangor (FAS), Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) dan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) - menzahirkan sokongan kepada Setiausaha Agung FAM itu.

Selain itu, Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) juga dilihat turut sebaris dengan enam persatuan itu selepas pemilik kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim sendiri mencadangkan nama Hamidin sebagai pengganti beliau mengisi kerusi panas itu.

Keadaan itu menyaksikan Hamidin memerlukan sekurang-kurangnya tiga lagi ahli gabungan menyokong beliau untuk secara kasarnya dipilih sebagai Presiden FAM ke-16 pada kongres ke-54 badan induk itu, 14 Julai depan.

Bagi Presiden MCFA, Datuk Jeffrey Low Han Chau, beliau percaya pengalaman Hamidin bekerja di bawah tiga presiden sebelum ini menjadi kelebihan utama Setiausaha Agung itu untuk membawa perubahan lebih baik kepada arena bola sepak negara.

“Apa yang penting ketika ini kami mahukan presiden yang boleh bekerja sepenuh masa dan bukan hanya separuh masa. Ia akan memberi banyak ruang buat presiden melakukan perancangan dan menguruskan FAM dengan baik.

“Berbanding presiden separuh masa, mereka mungkin berdepan kekangan masa dan tak dapat fokus 100 peratus untuk menguruskan FAM. Selain itu kami juga perlukan seseorang yang memiliki pengalaman luas dalam bola sepak.

“Jadi, pengalaman Hamidin memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung selama lima tahun sudah pasti meletakkan dirinya sebagai calon paling layak untuk menerajui FAM ketika ini,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain ahli gabungan, Hamidin turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang menganggap Hamidin individu paling layak menerajui badan induk itu selepas TMJ.

Jika dipilih, Hamidin akan mencipta sejarah sebagai individu pertama dalam kalangan orang biasa memegang tampuk kepimpinan FAM yang sebelum ini didominasi orang kenamaan, ahli politik dan kerabat diraja.

Sementara itu, Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Aminuddin Omar berkata, keputusan sama ada pihaknya akan menyokong Hamidin atau tidak akan diputuskan dalam mesyuarat pengurusan persatuan itu pada 15 April ini.

“Kami akan bermesyuarat pada 15 April ini, selepas itu baru kami buat keputusan. Bagi pihak saya tiada masalah, kerana selaku Exco FAM, saya memang menyokong Hamidin. Cuma bagi KFA, ia perlu diusulkan dalam mesyuarat,” katanya.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 8:53pm
d