arena

Selangor hampiri separuh akhir

Oleh Zulfaizan Mansor

SELANGOR kini sebelah kaki mara ke separuh akhir Piala FA selepas menang selesa 3-0 ke atas Kuala Lumpur pada suku akhir pertama di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebentar tadi.

Keputusan itu menyaksikan Selangor yang juga juara Piala FA lima kali, membawa bekalan tiga gol tempat lawan sebelum aksi suku akhir kedua di gelanggang sama pada 21 April ini.

Malah ia juga pencapaian baik buat Nazliazmi Nasir yang dilantik sebagai ketua jurulatih baharu Red Giants Selasa lalu.

Anak buah Nazliazmi mengejutkan tuan rumah menerusi gol pembukaan Willian Pacheco yang menanduk masuk sepakan percuma ketua pasukan, Amri Yahyah pada minit ke-19.

Hanya lima minit kemudian, gawang Kuala Lumpur bocor lagi dan kali ini hasil percubaan jarak dekat penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia.

Malang terus menimpa tuan rumah apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penyerang import, Guilherme De Paula dilayangkan kad merah pada minit ke-26 kerana mengasari Halim Zainal.

Lebih perit, jurulatih City Boys, Fabio Maciel hanya berada di tempat duduk penonton pada babak kedua dan difahamkan beliau tidak dibenarkan berada di bangku simpanan oleh pegawai perlawanan selepas insiden pergaduhan kecil dengan salah seorang pemain Selangor selepas tamat separuh masa pertama.

Biarpun beraksi tanpa De Paula dan Maciel di tepi padang, ia dilihat tidak mematahkan semangat Kuala Lumpur yang cuba bangkit merapatkan kedudukan.

Peluang terbaik skuad ibu kota itu hadir pada minit ke-59 namun percubaan Paulo Josue dinafikan penjaga gol Selangor, Norazlan Razali.

Selepas mensia-siakan beberapa peluang terhidang di depan pintu gol, Segovia akhirnya sekali lagi menceriakan penyokong pelawat apabila meledak gol ketiga Selangor pada masa kecederaan.

Disiarkan pada: April 7, 2018 @ 11:21pm
d