arena

Klopp puas hati walau seri

Oleh AFP

EVERTON dan Liverpool seri tanpa jaringan dan agak mengejutkan, pertembungan setempat yang memasuki edisi ke-231 semalam agak hambar ketika skuad bimbingan Juergen Klopp terlepas peluang melonjak ke tangga kedua Liga Perdana.

Tottenham Hotspur menang 2-1 ke atas Stoke City hasil jaringan Christian Eriksen dan menyamai kutipan mata dengan Liverpool yang meraih 67 mata - tetapi berpeluang cerah merampas kedudukan tangga kedua berdasarkan lawan yang bakal dihadapi selepas ini.

Perlawanan yang berkesudahan tanpa jaringan di laman Everton itu menyaksikan Liverpool kekal di tangga ketiga dengan 67 mata selepas 33 perlawanan, tetapi Spurs cuma beraksi 32 perlawanan.

Liverpool berjaya mengekang asakan Everton pada penghujung permainan - ketika lawan berusaha keras untuk memecahkan rekod tanpa kalah dalam pertembungan Merseyside kepada 17 perlawanan.

Tanpa penjaring terbanyak, Mohamed Salah dan Roberto Firmino, kesebelasan utama The Reds tampak sukar memecahkan kebuntuan berbanding ketika berdepan Manchester City, minggu lalu.

Cukup jelas, Liverpool merehatkan ramai tonggak utama kerana lebih mengutamakan persiapan menghadapi City dalam saingan Liga Juara-Juara selepas mereka menang 3-0 dalam pusingan pertama suku akhir di laman sendiri.

Klopp yang menyaksikan pemainnya sukar menembusi gawang Everton nyata berpuas hati dengan prestasi serta penguasaan bola dipamerkan Liverpool walaupun gagal membawa pulang tiga mata.

“Untuk 75 minit, kami mengawal sepenuhnya perlawanan. Saya sangat Ok, ia bukannya hari terbaik dalam hidup tetapi kita perlu teruskan,” katanya kepada BBC.

“Kini, kami harus segera fokus dan bersedia untuk aksi pada Selasa (pusingan kedua suku akhir Liga Juara-Juara). Ayuh, kita teruskan perjuangan untuk pusingan seterusnya,”

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 11:57am
d