arena

Dollah buru penggempur berkaliber

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Pahang, Dollah Salleh mengesahkan sedang mendapatkan seorang penyerang berkaliber untuk memperkasakan jentera serangan skuad itu.

Bekas jurulatih kebangsaan itu mengakui ketiadaan Francis Forkey Doe yang ditimpa kecederaan serius hingga terpaksa diketepikan cukup dirasai skuad Tok Gajah yang berdepan masalah ketumpulan barisan serangan.

“Ia dapat disaksikan ketika kami gagal untuk membolosi gawang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi suku akhir pertama Piala FA, kelmarin.

“Kegagalan itu memerlukan Pahang mencari pengganti Forkey Doe untuk mengembalikan ketajaman di bahagian serangan yang agak tumpul.

“Setakat ini, kami sudah menghubungi beberapa pemain untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Forkey Doe dan diharap ia dapat dimuktamadkan secepat mungkin,” katanya di sini, hari ini.

Dollah berkata, sebaiknya penyerang berkenaan dapat bersama skuad Tok Gajah lebih awal sebelum jendela perpindahan dibuka bulan depan.

Ia bertujuan untuk membentuk persefahaman antara pemain kerana aspek itu diberi diberi keutamaan segera bagi memastikan keserasian dapat dibentuk untuk memantapkan pasukan.

Pada aksi pusingan ketiga Piala FA bertemu Kedah, Forkey Doe terpaksa diusung keluar seawal minit ke-10 selepas mengalami kecederaan kaki kanan.

Dalam saingan Liga Super, pemain berusia 33 tahun itu membuktikan dia masih penyerang berbisa apabila menjaringkan tiga gol selepas lima perlawanan.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 2:34pm
d