arena

Puas aksi separuh akhir

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

ADA riak gembira di wajah pelari pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli biarpun gagal menempatkan dirinya ke pentas final acara 100m wanita Sukan Komanwel di Stadium Carrara hari ini.

Mencatat 11.84s pada aksi separuh akhir selepas 11.64s pada saringan pusingan pertama, Zaidatul tetap gembira apabila mengakui mampu memberi saingan berdepan jagoan hebat dunia.

Apatah lagi sebelum ini namanya tiada dalam senarai atlet olahraga ke Sukan Komanwel dengan perhatian lebih diberikan kepada atlet pecut lelaki untuk mencipta kejutan di Gold Coast.

“Saya bersyukur dengan corak larian saya tadi, dapat mengikut rentak pelari yang lebih baik. Seperti saya katakan dulu, jika berlari dengan orang yang lebih baik, kita akan dapat catatan lebih baik,” katanya.

“Malah jurulatih Bala (M Balamurugan) memberikan maklum balas yang positif dan tidak memberi tekanan walaupun saya mendapat tiket saat akhir untuk ke Sukan Komanwel.

“Saya manfaatkan sebaiknya peluang yang ada, agak berpuas hati dapat berlari dua kali walaupun sukar untuk menyaingi mereka pada separuh akhir kerana jarak masa antara saringan dan separuh akhir itu terlalu hampir.”

Menurutnya, meskipun apa yang dihajati tidak kesampaian tetapi dia masih berpuas hati dengan catatan dilakukannya.

Terdahulu Zaidatul yang mesra dipanggil Adik mencipta kejutan apabila menjadi atlet pecut ketiga selepas Tan Sri Dr M Jegathesan dan G Shanti mara ke separuh akhir Sukan Komanwel, masing-masing pada 1966 dan 1998.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 5:10pm
d