arena

KL Kopites sasar kumpul 1000 jersi [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

SELEPAS berjaya menarik hampir 500 peserta dalam pertandingan sepakan penalti anjuran KL Kopites penghujung tahun lalu, kelab penyokong Liverpool Malaysia itu kini bersedia untuk memahat sejarah baru dalam Malaysia Book of Record (MBOR) apabila bakal menganjurkan Koleksi Jersi Liverpool Paling Banyak di Dewan 1M4U Puchong, Rabu ini. 

Dengan menyasarkan himpunan koleksi jersi dari musim pertama penubuhan kelab dari 1892 hingga kini menyaksikan sasaran 1000 jersi itu mampu dikumpulkan oleh KL Kopites.

Menurut presiden kelab penyokong, B Sashidaran, cetusan idea untuk menganjurkan acara itu timbul ketika perbincangan antara ahli kelab pada tahun lalu yang melihat acara berkenaan masih belum dilakukan kelab penyokong lain sebelum ini.

"Di luar negara rasanya sudah ada yang melakukannya. Tetapi di Malaysia ianya baru dan kami mengambil inisiatif untuk menjadi kelab penyokong pertama menganjurkan acara itu.

"Berdasarkan perkembangan semasa, kami sudah berjaya mengumpul 1000 jersi dan jumlah itu semakin meningkat.

"Sudah tentu ianya melegakan kami yang turut berhasrat untuk mencatat sejarah dalam MBOR dengan syarat harus mengumpul jersi melebihi 1000.

"Apapun, kami masih ada masa dan saya amat mengalu-alukan sekiranya ada lagi rakan-rakan penyokong Liverpool yang mahu menyertai acara ini pada Rabu nanti," katanya.

Sementara itu, bagi salah seorang ahli kelab KL Kopites dari Sabah Yohanes Yosep, dirinya cukup teruja menanti acara berkenaan dengan dia sendiri menyumbangkan sejumlah 70 jersi.

"Saya antara penyokong tegar Liverpool dari Sabah. Saya dan rakan-rakan lain dari Sabah berjaya mengumpulkan hampir 70 jersi bagi menjayakan acara ini yang memerlukan 1000 koleksi untuk disenaraikan dalam MBOR," kata Yohanes yang mula bersama KL Kopites tiga tahun lalu.

Tammie Ng antara wanita paling aktif dalam KL Kopites pula berkata, persiapan untuk menghadapi acara itu hampir 80 peratus selesai dengan ahli jawatankuasa kini sedang sibuk menyiapkan tag pada setiap helaian jersi bagi memudahkan proses susunan ketika acara.

"Kami bergerak sejak dua bulan lalu dan sekarang semuanya berada dalam fasa terakhir. Saya harap acara itu akan berjalan lancar selain mengeratkan hubungan sosial dan semangat kerjasama antara penyokong Liverpool di negara ini," kata Tammie.

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 7:08pm
d