arena

Welbeck hampakan Southampton

DANNY Welbeck meledak dua gol untuk memastikan Arsenal meneruskan rentak kemenangan keenam berturut-turut dengan mengatasi pasukan yang bergelut di zon penyingkiran Southampton 3-2 dalam aksi di Stadium Emirates, sebentar tadi.

Skuad kendalian Mark Hughes yang dipisahkan tiga mata daripada zon penyingkiran, beraksi baik dan kelihatan mampu pulang dengan satu mata apabila Charlie Austin memadamkan gol Pierre-Emerick Aubameyang dan Welbeck selepas Shane Long meletakkan Southampton di depan.

Tetapi Welbeck sekali lagi memberi sumbangan penting sembilan minit sebelum berakhir permainan tatkala Arsenal meraih kemenangan yang melonjakkan mereka dua mata di belakang pasukan tangga kelima Chelsea.

Bagaimanapun, aksi itu dicemari layangan dua kad merah di hujung permainan selepas pemain tengah Arsenal Mohamed Elneny dan tonggak Southampton Jack Stephen masing-masing diarahkan keluar padang dalam dua insiden berasingan.

Arsene Wenger juga melakukan beberapa pertukaran, merehatkan tonggak seperti Mesut Ozil, Laurent Koscielny dan Alexandre Lacazette untuk perlawanan berkenaan.

Keputusannya itu bermakna pemain sayap berusia 18 tahun Reiss Nelson meraih penampilan sulung Liga Perdana Inggeris. Nelson dianggap sebagai produk akademi terbaik Arsenal sejak Jack Wilshere. - AGENSI

Disiarkan pada: April 8, 2018 @ 11:54pm
d