arena

Keith Lim gagal ke akhir 50m

Oleh Ajitpal Singh

GOLD COAST: Perenang negara, Keith Lim menyamai catatan peribadi terbaik acara 50 meter (m) gaya bebas di temasya Komanwel, namun belum cukup untuk layak ke pentas separuh akhir dalam acara yang berlangsung di Pusat Renang Optus.

Keith mengungguli saringan kelima selepas mencatatkan 23.33 saat (s), namun berkedudukan tempat ke-22 keseluruhan, 0.92s di belakang 16 perenang yang layak ke separuh akhir.

“Saya puas hati dengan catatan ini kerana sudah lama saya tidak berenang sepantas ini sejak Sukan SEA 2017. Saya boleh melakukan lebih baik atau lebih teruk, jadi saya tidak boleh mengeluh,” katanya.

“Tapi saya tidak berpuas hati dengan catatan dalam acara 100m gaya bebas Ahad lalu. Saya perlu memperbaiki kepantasan dan masa saya selepas ini.”

Sementara itu, seorang lagi perenang negara, Caroline Chan sekadar merekodkan 30.10s.

Dia gagal menyamai rekod kebangsaan miliknya yang dilakukan ketika Kejohanan Asia 2016 di Jepun dalam acara 50m kuak lentang.

Dalam aksi sebentar tadi, Caroline menamatkan aksi di kedudukan ke-18 keseluruhan.

“Saya harap dapat memecahkan rekod kebangsaan di sini. Saya perlu belajar bagaimana untuk mengawal perasaan gemuruh dan berenang lebih baik,” katanya.

Dua perenang negara itu akan beraksi di Terbuka Malaysia bulan depan di Kuala Lumpur sebagai persediaan ke Sukan Asia yang akan berlangsung Ogos ini di Jakarta-Palembang.

Perenang negara mengakhiri kempen di temasya kali ini dengan catatan msa yang boleh dibanggakan namun gagal membawa pulang sebarang pingat.

Tern Jian Han dan Welson Sim antara perenang yang mara ke peringkat akhir, masing-masing dalam acara 50m kuak lentang dan 400m gaya bebas.

Jian Hern berjaya memadamkan rekod Lim Keng Liat berusia 16 tahun dalam acara itu.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 1:38pm
d