arena

Adli 'cepuk' Komsun KO

Oleh Azlan Muhammad Zain

BEKAS petinju negara, Adli Hafidz Mohd Pauzi gembira apabila penampilan pertamanya pada aksi profesional membuahkan hasil apabila meraih kemenangan KO (knock out).

Pada aksi di Bangkok semalam, petinju kelahiran Johor berkenaan menewaskan lawan dari Thailand, Komsun Vongsurin dalam kategori lightweight selepas pertarungan memasuki pusingan kedua.

“Persediaan saya selama lima bulan akhirnya membuahkan hasil yang diharapkan, saya berjaya melakar kejayaan pada aksi profesional pertama,” jelas pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017) itu.

Tambahnya, kejayaan berkenaan diharap mampu menutup mulut pengkritik selepas dia ditewaskan lawan dari Filipina, Marvin John Nobel Tupas di final Sukan SEA dalam kategori 81 kilogram menerusi TKO (teknikal knock out).

“Saya mahu membuktikan mampu melangkah jauh dengan kejayaan ini. Ini adalah permulaan dan motivasi untuk saya terus berusaha dan memenangi perlawanan seterusnya pada bulan depan di Kuala Lumpur.

“Saya mahu mengikut jejak langkah petinju profesional negara, Mohd Farkhan Haron yang meraih kejayaan pada peringkat profesional. Saya berlatih bersamanya di Johor di bawah jurulatih, Awang Affandey Awang Kati,” katanya.

Adli Hafidz menjelaskan sasarannya adalah untuk mendapatkan Majlis Tinju Dunia (WBC) Asia kategori super middleweight pada tahun ini.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 6:30pm
d