arena

Skuad badang 'tutup kedai'

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

HARI terakhir acara angkat berat di Carrara Sports and Leisure Centre menyaksikan dua atlet negara yang mempertaruhkan aksi mereka di Sukan Komanwel gagal meraih sebarang pingat.

Siti Aisyah Md Rosli hampir membawa pulang gangsa, namun terpaksa akur di tangga keempat kategori 90 kilogram (kg) wanita apabila melakukan angkatan 91kg dalam snatch dan 123 dalam clean and jerk untuk mengumpul jumlah angkatan keseluruhan 214kg.

Namun, atlet berusia 22 tahun itu tetap berbangga apabila matlamatnya memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri menjadi kenyataan.

“Saya sudah pecahkan rekod kebangsaan, rekod saya sendiri iaitu 90kg dalam snatch dan 115 menerusi clean and jerk,” kata Siti Aisyah.

“Saya tidak berpuas hati dengan snatch tetapi saya cuba bangkit dalam clean and jerk. Saya rasa cukup baik kerana dapat melakukan angkatan 123kg dan itu pencapaian terbaik bagi saya.

“Sewaktu kelayakan saya menduduki tangga kelima tetapi kini mendapat nombor empat, ia pencapaian yang baik di Sukan Komanwel.

“Saya sasarkan empat tahun lagi untuk menyerlah di Komanwel kerana saya masih muda lagi. Saya tidak meletak sasaran kali ini kerana hanya mahu memecahkan rekod sendiri.”

Mohamad Norfarhan Ideris mengakhiri kempen skuad angkat berat negara di tangga kesembilan dalam kategori 105kg ke atas.

Dia melakukan angkatan 141kg dalam snatch, 185 dalam clean and jerk untuk 326kg keseluruhan.

Skuad angkat berat negara meraih dua emas menerusi Azroy Hazal Wafie Izhar Ahmad dan Muhamad Aznil Bidin masing-masing dalam kategori 56kg dan 62kg selain gangsa menerusi Fazrul Azrie Mohdad dalam kategori 85kg.

Malah, sebanyak enam rekod kebangsaan turut dileburkan atlet negara sepanjang temasya kedua terbesar dunia ini.

Disiarkan pada: April 9, 2018 @ 8:13pm
d