arena

Pelumba TSC sertai Tour of Mersin

Oleh Haika Khazi

EMPAT pelumba Sapura Cycling Team (TSC) diketuai Akmal Hakim Zakaria bakal mewakili Malaysia ke siri jelajah lumba basikal Eropah, Tour of Mersin di Turki mulai 19 hingga 22 April ini.

Tiga pelumba lain yang turut mewakili TSC untuk beraksi di perlumbaan berstatus elit berkenaan termasuklah Mohamad Nur Aiman Mohd Zariff, Muhsin Al Redha Misbah dan Fitri Saharil.

Pengurus TSC, Sayuti Zahit berkata, penyertaan pelumba TSC ke Tour of Mersin penting bagi membolehkan mereka membuat persiapan rapi menghadapi perlumbaan lebih mencabar terutama jelajah Eropah bawah 23 tahun, Carpathian Couriers Race dari 28 April hingga 3 Mei 2018 nanti 

Sebagai persiapan awal, Sayuti menegaskan TSC sudah menghantar keempat-empat pelumba berkenaan menyertai perlumbaan Trofeo Edil C di Itali, pada 7 April lalu.

"Kami tetap berpuas hati dengan pencapai Akmal, Aiman dan Muhsin biarpun mereka menduduki tangga ke-58, 79 dan 81 daripada 82 peserta yang berjaya sampai ke garisan penamat, manakala bakinya termasuk pelumba TSC, Fitri Saharil terkeluar dari perlumbaan akibat terjatuh kerana laluan terutama empat kilometer terakhir amat sempit.

"Antara pasukan ternama yang menyertai pelumbaan Trofeo Edil C termasuk SKY dari Britain, BMC Racing Team (Amerika Syarikat),  Quick-Step Floors, Dimension Data, Astana Pro Team dan banyak lagi," katanya ketika dihubungi di sini, sebentar tadi.

Perlumbaan Trofeo Edil C itu dimenangi pelumba pasukan, Trevigiani Phonix - Hemus, Allesandro Fedeli dengan catatan 3 jam 48 minit 47 saat, diikuti rakan sepasukannya, Zahiri Abderrahim di tempat kedua dan pelumba Perancis, Robin Mayer (ketiga)

Sementara itu, Sayuti berharap penyertaan pasukan TSC ke siri jelalah Eropah itu membolehkan pelumba muda negara meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa sekali gus mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 12:22am
d