arena

'Pembunuh gergasi' jadi pembakar semangat

Oleh Azlan Muhammad Zain

RIBUAN ucapan tahniah yang diterima selepas kejayaan menumbangkan juara dunia, Matt Glaetzer tidak melalaikan pelumba negara, Shah Firdaus Sahrom untuk terus melakar kejayaan selepas ini.

Jelasnya, ia satu pencapaian terbaik bagi dirinya apabila mampu menumbangkan pelumba yang menjadi tumpuan sukan berbasikal trek ketika ini.

"Ramai yang mengucapkan tahniah ...mencecah ribuan pesanan sampai tidak sempat terbalas lagi...sama ada di media sosial atau secara peribadi. Malah Glaetzer sendiri berjumpa saya selepas aksi suku akhir, mengucapkan tahniah dan menyatakan saya berhak memenangi aksi bertemunya itu.

"Namun saya masih baru, banyak lagi pengalaman yang perlu saya kutip dan belajar. Secara perlahan saya cuba menghampiri tahap pelumba kelas dunia yang lain.

"Orang yang memberikan gelaran giant killer (pembunuh gergasi)...saya tidak kisah mengenainya. Saya terus fokus dan cuba meraih podium di Sukan Asia nanti," jelas pelumba berusia 22 tahun itu.

Dunia sukan berbasikal trek beberapa hari lalu dikejutkan dengan kejayaan Shah Firdaus menewaskan Glaetzer di pusingan pertama acara pecut individu dan ia dilabel kejutan terbesar sepanjang empat hari acara trek Sukan Komanwel Gold Coast di Velodrom Anna Meares.

Glaetzer, meraih gelaran pecut dunia di Belanda baru-baru ini, mara ke pusingan pertama acara pecut dengan melakar masa terpantas dan melakar rekod baru kejohanan serta menjadi sandaran tuan rumah, Australia meraih emas selain acara keirin dan satu kilometer ujian masa.  "Acara keirin tidak berjalan seperti yang saya rancang, tumpuan saya seterusnya mahu membaiki rekod peribadi dalam pecut namun tidak berjaya apabila sekadar melakar masa 10.013 saat.

"Apabila melihat senarai sebagai pelumba tempat terakhir layak, saya terpaksa bertemu Glaetzer dan saya berjanji tidak akan memberikan laluan mudah kepadanya.

“Ia memberikan saya motivasi dan keyakinan bahawa juara dunia juga mampu ditewaskan," tambahnya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 10:04am
d