arena

KAFA 'angin' dikata tak profesional

Oleh Attirmidzie Rahman

KOTA BHARU: Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) tetap mempertahankan kredibiliti sebagai badan induk bola sepak yang mampu bergerak secara profesional. Presidennya, Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, beberapa isu dihadapi sekarang ini tidak boleh dianggap sebagai kelemahan kerana ia adalah proses transformasi pasukan.

Katanya, isu menamatkan beberapa kontrak pemain sudah dilakukan dengan perbincangan bersama pemain.

"Ayat tidak 'profesional' ini tidak sepatutnya diguna pakai kepada pengurusan KAFA yang mana kami juga ada cara tersendiri dalam mengendalikan pasukan.

"Cuma apa yang berlaku sebelum ini membabitkan individu tertentu saja dan yang sepatutnya perlu dirujuk kepada KAFA dahulu sebelum membuat kenyataan. Sebelum ini pun kita pernah tamatkan kontrak beberapa pemain atas persetujuan bersama termasuk tuntutan mereka pun kami tunaikan melalui perbincangan.

"Seperti contoh, pemain import Indonesia Ferdinand Sinaga. Kami membayar gaji untuk Mac saja seperti mana dipersetujui olehnya dan tiada tuntutan pun dibuat kerana dia memahami kontraknya," katanya di sini, hari ini.

Semalam, Persatuan Bolasepak Pemain Profesional Malaysia (PFAM) kecewa dengan cara segelintir persatuan dan kelab yang tidak profesional dalam menamatkan kontrak pemain tanpa surat rasmi.

Mengulas lanjut mengenainya, Bibi Ramjani berkata, pihaknya sudah belajar daripada kesilapan lalu dan sesekali tidak akan mengulanginya biarpun masih terdapat beberapa kelemahan.

"Kalau hutang pengurusan dulu pun kami masih tolong bayarkan, tak kan kami nak buat hutang baharu tanpa sebab. Kami belajar dari kesilapan dulu walaupun masih baharu dalam persatuan ini dan belum cukup lagi untuk capai kesempurnaan," katanya.

Mengulas mengenai isu penamatan kontrak terhadap pemain termasuk 'Pogba Malaysia', S Veenod, Bibi Ramjani memberitahu pihaknya belum menamatkan kontrak pemain terbabit dan akan membuat perbincangan selanjutnya sebelum mencapai sebarang keputusan.

"Ada beberapa pemain yang diumumkan untuk digugurkan termasuk Veenod. Kontrak mereka belum dibatalkan lagi cuma akan dipanggil semula untuk berbincang," katanya yang tidak menolak akan berunding dengan dua lagi pemain senior pasukan untuk ditamatkan kontrak.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 5:58pm
d