arena

Rachel-Sivasangari singkir juara dunia

Oleh Daripada Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid di Gold Coast

PASANGAN negara, Rachel Arnold-S Sivasangari melakar kejutan pada aksi peringkat kumpulan acara skuasy beregu wanita Sukan Komanwel apabila menjinakkan juara dunia dari New Zealand, Joelle King-Amanda Murphy di Oxenford Studios, hari ini.

Aksi pasangan negara itu ternyata sukar dikekang juara dunia itu apabila menang 11-10,11-10.

Rachel berkata, kejayaan menewaskan pilihan utama dan juara dunia itu sesuatu yang luar biasa.

“Pencapaian ini sesuatu yang menakjubkan,” kata Rachel. “Kami gementar sewaktu menentang mereka tetapi kami mencuba sebaik mungkin untuk menewaskan mereka dan gembira dengan kemenangan ini.”

Sivasangari pula menyifatkan kejayaan itu hasil usaha mereka mengkaji strategi lawan sebelum berjuang.

“Ini kali pertama kami menghadapi kejohanan besar seperti ini,” katanya. “Kami banyak berlatih dan mengkaji video mengenai corak permainan beregu lawan dan ternyata ia banyak membantu kami.”

Rentak positif Rachel-Sivasangari turut disusuli pasangan Aifa Azman-Sanjay Singh yang menewaskan beregu Trinidad & Tobago, Charlotte Knaggs-Kale Wilson 11-4, 11-4 dalam acara beregu campuran.

Namun pada aksi berikutnya, mereka tewas s 4-11, 4-11 kepada gandingan tuan rumah, Rachael Grinham-Ryan Cuskelly.

Sementara itu, gandingan pemenang pingat gangsa perseorangan lelaki Nafiizwan Adnan dan Ivan Yuen menewaskan pasangan Othniel Bailey-Oman Wilson dari St Vincent & Grenadines 11-6, 11-3.

Dua beregu terbaik setiap kumpulan akan mara ke peringkat kalah mati.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 7:00pm
d