arena

Rooney Ganu senyum riang

Oleh Malik Muhamad

ARKITEK Terengganu FC (TFC) kelahiran England, Andrew Lee Tuck antara individu yang begitu gembira selepas kembali bergandingan dengan bekas rakan sepasukannya, Bruno Suzuki dalam skuad Penyu.

Malah pemain yang digelar Wayne Rooney Terengganu itu tanpa berselindung mengakui kehadiran bekas gandingannya ketika bersama skuad Negeri Sembilan musim lalu bakal memantapkan jentera serangan skuad Penyu.

“Saya gembira Suzuki menyertai pasukan kami. Selain dapat membantu pasukan ia juga turut memberi peluang kepada pemain kelahiran Brazil itu meningkatkan kembali prestasi terbaiknya apatah lagi skuad TFC beraksi dalam saingan Liga Super.

“Saya juga yakin pemain itu mampu meledak lebih banyak lagi jaringan bersama TFC berbanding ketika mewakili Negeri Sembilan musim lalu dan dapat membuktikan dia antara penyerang hebat dalam saingan Liga Malaysia (Liga M),” katanya.

Musim lalu pemain yang mendapat taraf kerakyatan Jepun itu meledak 11 jaringan sepanjang 19 penampilan bersama skuad Negeri Sembilan dalam saingan Liga Perdana.

Bagaimanapun, penyerang berusia 28 tahun itu yang baharu dinaikkan pangkat daripada pasukan Terengganu FC II (TFC II) pada minggu lalu setakat ini belum meledak sebarang gol selepas mengharungi empat perlawanan dalam aksi Liga Perdana sekali gus menimbulkan persoalan dalam kalangan peminat setia skuad yang terkenal julukan Peteh Terengganu Peteh.

“Benar dia masih belum menemui sentuhan berbisa, tapi ketika kami bersama skuad Negeri Sembilan musim lalu dia salah seorang penyerang digeruni lawan dengan banyak peluang dapat dicipta bersama.

“Kombinasi saya dengan Suzuki bukan hanya serasi di luar padang malah juga di dalam padang dan masing-masing memahami antara satu sama lain. Ini memberi kelebihan kepada kami dan bakal diterapkan ketika beraksi bersama pasukan nanti,” katanya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 7:25pm
d