arena

Sedia tamat kemarau tiga tahun

Oleh Farah Azharie

KEJOHANAN Amatur MPI-Generali akan kembali membuka lapangannya yang menyaksikan wakil daripada 13 negara akan merebut trofi, Ranking Amatur Golf Dunia (WAGR) dan juga peluang beraksi di Jelajah Pembangunan Asia (ADT) yang terpilih.

Negara yang sudah mengesahkan pertandingan adalah Nepal, Bangladesh, Singapura, Guam, Fiji, Australia, New Zealand, Hong Kong, Filipina, Thailand, Pakistan, Chinese Taipei dan juga Malaysia.

Dijangka berlangsung awal bulan hadapan, saingan berlangsung di Saujana Golf and Country Club dengan pemain amatur Malaysia bersedia untuk menamatkan kemarau tiga tahun bagi membawa pulang trofi pada kejohanan edisi ke-31 itu.

Kejohanan itu menjadi batu loncatan kepada beberapa pemain terkemuka negara seperti pemenang Order of Merit Jelajah Asia pertama daripada Malaysia, Gavin Green dan beberapa pemain Jelajah Profesional seperti R Nachimuthu, Airil Rizman Zahari serta Daeng Abdul Rahman.

“Kami gembira kerana beberapa juara terdahulu berjaya menjadi profesional dan mencipta kejutan di peringkat antarabangsa khususnya seperti pemenang edisi 2012, Gavin yang muncul juara Order of Merit Jelajah Asia 2017,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MPI-Generali Insurans Berhad, Oliver Tan.

Edisi kali ini menyaksikan pelaksanaan VPAR Scorecentre- sistem mata secara dalam talian yang bertujuan mengubah cara pemain dan penonton berinteraksi dengan sukan itu.

Sistem terbabit akan memberikan akses kepada senarai undian secara dalam talian dan jumlah pencapaian secara harian yang turut disertakan dengan gambar pemain.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 8:35pm
d