arena

Stadium Perak zon larangan merokok

Oleh Azizan Hashim

STADIUM Perak akan menjadi zon larangan merokok apabila mula digunakan untuk perlawanan suku akhir kedua Piala FA antara Perak dan PKNS FC pada 21 April ini.

Larangan itu dibuat bertujuan memberi keselesaan selain mengutamakan kesihatan penonton.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata demikian selepas penyerahan Stadium Perak oleh kontraktor kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), petang tadi.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Bolasepak Perak (PAFA) berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada penonton mengenai penonton yang merokok dalam stadium.

Abdul Puhat berharap, MBI melaksanakan larangan itu dan akan berkuat kuasa mulai 21 April ini.

“Kenakan denda atau hukuman setimpal terhadap mereka yang melanggar larangan itu,” katanya.

Beliau yakin larangan itu dapat dilaksanakan kerana memang wujud peraturan mengenai soal merokok di dalam bangunan tertutup.

Sementara itu, kerja-kerja menaik taraf Stadium Perak membabitkan tempat duduk utama, medan selera, trek larian dan kerusi penonton untuk Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 yang akan berlangsung Oktober ini sudah siap sepenuhnya.

Menurut Abdul Puhat, kos pembinaan ialah sebanyak RM18.5 juta dan mengambil masa selama 6 bulan untuk disiapkan.

Dalam tempoh itu, stadium yang menjadi gelanggang utama aktiviti bola sepak serta olahraga ditutup sepenuhnya.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 9:26pm
d