arena

Santokh perkasa KL Kopites lakar sejarah [METROTV]

Oleh Farah Azharie

BEKAS pemain bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh bersedia untuk membantu KL Kopites dalam usaha mencipta sejarah dalam Buku Rekod Malaysia (MBOR) membabitkan pameran jersi Liverpool terbesar yang berlangsung di 1M4U Sentral, Puchong, hari ini.

Santokh yang juga penyokong setia The Reds akan disertai Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin ; Ketua Unit Pengadil FAM, M K Kadir Bacha serta Ketua Pemuda MIC, Datuk Sivarrajh Chandra.

Perkembangan itu disahkan Bendahari KL Kopites, Ragunath yang mengakui jumlah jersi kini sudah melebihi sasaran 1,000 helai seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Buat masa ini, kami sudah memperoleh 1,350 helai dan dijangka jumlah ini akan bertambah esok (hari ini) kerana ramai yang sudah bertanya mengenainya.

“Kami jangkakan jumlahnya akan meningkat sehingga 1,500 helai,” katanya.

Ragunath berkata, wakil Pesuruhjaya Tinggi British dan juga Timbalan Pengurus Besar MBOR, Mohamad Alex Andrew Jamuh Abdullah akan turut hadir untuk menyaksikan program julung kali anjuran kelab penyokong rasmi Liverpool di Malaysia itu.

“Kami mahu mencipta sejarah menjadi kelab penyokong pertama di Malaysia yang membuat percubaan ini sekali gus menjadi penanda aras kepada kelab penyokong lain.

“Belum pernah ada kelab penyokong yang melakukan rekod ini di Asia Tenggara dan sebab itulah kami bercadang untuk mengadakan himpunan jersi terbesar ini,” katanya.

Percubaan itu turut mendapat perhatian Liverpool FC TV (LFC TV) dan mereka sudah memohon klip video membabitkan acara itu bagi disiarkan di platform rasmi mereka.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 10:02pm
d