arena

Sabah ceriakan Likas

Oleh Ryan Stanley

SABAH kembali merampas tangga kedua Liga Perdana selepas menewaskan UiTM FC 3-1 di Stadium Likas, sebentar tadi.

Beraksi di hadapan hampir 4,000 penyokong, Sabah mendahului pelawat pada minit ke-15 hasil jaringan Maxsius Musa hasil hantaran Gil Hoon.

Bagaimanapun, UiTM FC berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-36 hasil tandukan pemain gantian, Dao Bakary hasil sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Pada minit ke-43, Sabah kembali di depan apabila sepakan percuma Sabri Sahar menerjah gawang UiTM FC dan kedudukan itu kekal hingga tamat babak pertama.

Bermula babak kedua, Sabah terus garang memburu jaringan dan hampir memperolehnya pada minit ke-47 tetapi sepakan percuma Sabri berjaya diselamatkan penjaga gol lawan, Mohamad Soffuan Tawil.

Soffuan sekali lagi menjadi penghalang tuan rumah untuk menambah jaringan apabila menyelamatkan rembatan kencang Gil Hoon dari dalam kotak penalti pada minit ke-56.

Pada minit ke-62, UiTM FC hampir menyamakan kedudukan hasil rembatan Sadam Hashim namun penjaga gol Sabah, Robson Rendy Rining bijak mempertahankan gawangnya.

Pada minit ke-63, pasukan pelawat terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Muhammad Nursalam Zainal Abidin dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil.

Heo Jaenyong menambah derita UiTM FC apabila menyumbat gol ketiga pasukannya hasil rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-71 sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah Sabah dalam saingan liga setakat ini.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 10:57pm
d