arena

Tetap bangga dengan Afiq

Oleh Haika Khazi

BIARPUN pulang tangan kosong tanpa sebarang pingat, namun prestasi pelumba cacat penglihatan, Afiq Afify Rizan (gambar) dan jurumudinya, Khairul Adha Rasol di Sukan Komanwel Gold Coast 2018 (GC2018) tetap boleh dibanggakan.

Ketua jurulatih pasukan basikal para kebangsaan, Mohd Johari Nayan menegaskan, beliau tetap gembira melihat peningkatan prestasi Afify dan Adha di GC2018 terutama selepas mereka sekali lagi berjaya memecahkan rekod Asia ketika turun beraksi dalam acara ujian masa satu kilometer (1KM) di Velodrom Anna Meares, Khamis lalu.

Afify dan Adha mencipta rekod baru dalam acara 1KM selepas mencatat 1 minit 03.249 saat (s) berbanding catatan lama 1:04.192s yang dibuat mereka di di Kejohanan Basikal Trek Para Dunia 2018 di Rio, Mac lalu.

Lebih manis lagi, Afify dan Adha juga berjaya mencipta rekod baru kejohanan dalam acara ujian masa 200m selepas menamatkan perlumbaan dengan catatan 10.037s sebelum dipadamkan pelumba Scotland tidak lama kemudian dengan catatan baru 9.568s.

Mohd Johari berkata, secara keseluruhan prestasi Afify dan Adha dilihat semakin menuju ke arah mencapai KPI untuk menang pingat di Sukan Asia Jakarta 2018 nanti terutama selepas mereka berjaya memadamkan rekod lama Asia 1.04.266s dicipta gandingan Jepun, Tatsuyuki Oshiro-Yasufumi Ito.

“Saya juga gembira kerana Afify dan Adha bukan hanya menunjukkan prestasi lebih baik dalam acara pecut 200 meter (m) berbanding di Rio tempoh hari, malah mereka juga berjaya memecahkan rekod kejohanan sebelum dipadamkan pelumba Scotland.

“Walaupun Afify dan Adha hanya menduduki tempat ke-4 dalam acara 1KM dan 200m, namun saya percaya mereka kini di landasan terbaik untuk menang sekurang-kurang satu pingat gangsa di Sukan Asia Jakarta 2018 dan layak ke Sukan Paralimpik 2020 nanti,” katanya ketika dihubungi di sini, sebentar nanti.

Disiarkan pada: April 10, 2018 @ 11:55pm
d