arena

Saya sedia pertahan kubu!

KAPTEN Everton, Phil Jagielka percaya peningkatan prestasi di bahagian pertahanan mampu membantu jentera serangan kelab Merseyside itu untuk lebih bebas apabila berada di hadapan gawang gol.

Keputusan terikat tanpa jaringan dengan seteru tempatan, Liverpool minggu lalu adalah rekod positif mereka dalam empat perlawanan Liga Perdana.

Sehubungan itu, bek tengah, Jagielka percaya kekuatan di bahagian berkenaan adalah kunci kepada pencarian gol kemenangan buat penyerang.

“Rekod bersih adalah asas pembinaan,” kata Jagielka dalam laman web Everton. “Kamu mahu memberi penyerang peluang untuk menjadi pemenang perlawanan.”

“Sekiranya kami kukuh di bahagian belakang, diharap penyerang akan meraih satu atau dua peluang dalam satu perlawanan dan menguasai mereka, jadi rekod bersih sentiasa penting. Keyakinan juga penting untuk membantu mencapai impian itu.”

Everton kini berada di tangga kesembilan liga dengan 41 mata. Mereka kini meraih 11 kemenangan daripada 33 perlawanan liga setakat ini.

Mereka dilihat sedang memburu kemenangan berturut-turut di laman lawan buat kali pertamanya musim ini apabila dijadual berkunjung ke Swansea City, Sabtu ini. - Reuters.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 2:42pm
d