arena

Cub Prix Temerloh ditunda

Oleh Sukhairi Thani

KUALA LUMPUR: Pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 yang dijadual berlangsung di Temerloh, Pahang pada 5 dan 6 Mei ini, ditunda.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan, pihak penganjur berkata, keputusan itu berikutan kehangatan Pilihan Raya Umum ke-14 yang dijadual berlangsung pada 9 Mei ini.

“Berikutan pengumuman tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-14, atas nasihat dan perbincangan bersama kerajaan negeri dimaklumkan Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 yang dijadualkan pada 5 dan 6 Mei 2018 (Sabtu & Ahad) di Temerloh, Pahang akan ditunda ke satu tarikh yang akan diberitahu kelak,” menurut kenyataan itu.

Pusingan pertama yang berlangsung di Litar Tangkak Johor pada hujung bulan lalu dimenangi Kasma Daniel Kasmayudin dalam kelas perdana, CP150.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang turut beraksi dalam saingan SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) itu mencatat masa terpantas 14 minit 54.984 saat.

Catatannya itu mengatasi dua lagi pesaing utamanya dari PETRONAS Sprinta Yamaha- CKJ, Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 4:44pm
d