arena

Kuartet 4x100m sudah sedia memecut

Oleh Aida Adilah Mat

BARISAN kuartet 4x100 meter (m) negara sudah bersedia memberi yang terbaik dalam usaha mereka memecahkan rekod kebangsaan apabila turun beraksi dalam Sukan Komanwel di Stadium Carrara, Jumaat ini.

Diketuai Raja Pecut Asia Tenggara, Khairul Hafiz Jantan, Nixson Kennedy, Jonathan Nyepa dan Badrul Hisyam Abdul Manap, kuartet itu diharapkan mampu meleburkan rekod kebangsaan yang dicipta ketika Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos lalu.

Jurulatih pecut negara, Mohd Poad Md Kassim berkata, kuartet berkenaan sudah bersedia dan berada dalam keadaan terbaik.

Katanya, Khairul Hafiz juga berada dalam keadaan terbaik dan sudah dapat mengatasi rasa fobia gara-gara melakukan kesilapan pada permulaan ketika beraksi dalam acara 100m, Ahad lalu.

“Saya harap mereka tidak melepaskan peluang ini untuk mencipta rekod baharu.

“Apa yang disasarkan di sini (Komanwel) adalah untuk memecahkan rekod kebangsaan dan jika semuanya berjalan lancar, peluang itu ada,” katanya.

Rekod kebangsaan dalam acara itu adalah 39.27 saat yang dilakukan Muhammad Haikal Hanafi, Jonathan, Badrul dan Nixson tanpa kelibat Khairul Hafiz.

Kehadiran pelari yang dikenali dengan jolokan ‘The Speedy Jantan’ itu disifatkan oleh rakan pasukan memberi motivasi tambahan selain menjadi kelebihan buat pasukan.

Berdasarkan rekod, kuartet Jamaica dan Kenya mendominasi acara pecut ketika Glasgow 2014.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 6:59pm
d