arena

Mei Xing fokus beregu campuran

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAN beregu wanita negara, Teoh Mei Xing mengakui bahawa misinya di Siri Antarabangsa Indonesia masih belum berakhir walaupun tumpas di pusingan pertama kepada pasangan tuan rumah, Devita Puti Alifia-Amalia Cahaya Pratiwi hari ini.

Mei Xing yang bergandingan bersama Yap Zhen, tumpas 19-21, 20-22 namun dalam aksi beregu campuran (bergandingan bersama Man Wei Chong) dia berjaya mempamer aksi cemerlang selepas membenam pilihan ketiga dari Singapura, Bimo Adi Prakoso-Jin Yujia 21-15, 18-21, 21-19.

Menurut pemain yang pernah beraksi di Kejohanan Remaja Dunia 2015 di Lima, Peru itu, ini adalah penampilan pertamanya di peringkat antarabangsa bersama Wei Chong dan mereka hanya bermain dengan tenang serta mengikut rentak permainan sendiri.

“Kami kebanyakannya mengikut segala arahan jurulatih termasuk strategi permainan dan saya berasa sangat bertuah berjaya menang aksi pusingan pertama,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, walaupun fokus utamanya di kejohanan berkenaan adalah dalam acara beregu wanita tapi tumpuan sekarang sudah berubah dan menetapkan sasaran untuk cuba mara ke perlawanan akhir bagi beregu campuran.

“Saya berasa selesa dan lancar bergandingan bersama Wei Chong kerana dia seorang pemain yang bijak mencari ruang kosong. Dia juga mampu mengawal permainan dengan baik dan mengumpan kepada saya untuk melakukan pukulan penyudah,” kata pemain kelahiran Selangor itu.

Menanti mereka di pusingan kedua ialah pasangan Taiwan, Tang Kai Wei-Lee Wei Tzu yang sebelum itu menumpaskan gandingan tuan rumah, Indra Leonard Prasetya-Elok Machsunnah 21-19, 14-21, 21-10.

“Saya berharap kami mampu mencatat kemenangan esok dan bermain mengikut rentak kami. Paling penting ialah bermain mengikut kemampuan yang kami ada,” katanya.

Turut mara ialah satu lagi gandingan beregu campuran negara, Idham Zainal Abi Syazmil-Tan Sueh Jeou yang menumpaskan rakan senegara, V Eveshgaran-V Dharshinie 21-15, 21-13.

Bagaimanapun, dua pemain perseorangan lelaki negara, Lim Chi Wing dan Chong Yee Han, tersingkir di pusingan pertama selepas tumpas kepada wakil tuan rumah.

Chi Wing yang diletakkan sebagai pilihan keempat tumpas 20-22, 14-21 kepada Gatjra Piliang Fiqihila Cupu dan Yee Han tunduk di tangan Andi Fadel Muhammad 16-21, 17-21.

Pemain profesional, Aidil Sholeh Ali Sadikin melakar kejutan menumpaskan pilihan keenam dari India, Mithun Manjunath 21-8, 21-15.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 8:43pm
d