arena

'Tahniah Pandelela-Jun Hoong'

Oleh Haika Khazi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada Pandelela Rinong dan Cheong Jun Hoong atas kejayaan memenangi emas di Sukan Komanwel 2018 (GC2018) di Pusat Akuatik Optus Aquatic Centre, sebentar tadi.

Pandelela-Jun Hoong memenangi acara 10m platform seirama wanita selepas mengumpul 328.08 mata manakala rakan senegara, Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri membolot gangsa dengan 308.16 mata.

“Pingat EMAS ke-3 hadiah buat Malaysia dalam acara Terjun 10m Platform Seirama (W). Tahniah @cheongjunhoong & @Pandelela_R . Ayuh, teruskan sokongan untuk atlet negara di #GC2018.

“Tahniah @AngelaLeong & @bitahsabri127 berjaya peroleh pingat Gangsa buat negara dalam aksi terjunan 10m platform (W). Terbaik Malaysia #GC2018,” katanya menerusi akaun Twitter rasminya sebentar tadi.

Pandelela- Jun Hoong menampilkan lima terjunan sempurna untuk memenangi pingat emas 10m platform seirama wanita di Pusat Akuatik Optus dan meraih emas sulung negara dalam acara itu ketika Leong Mun Yee-Nur Dhabitah Sabri membolot gangsa dengan 308.16 mata.

Penerjun Kanada, Meaghan Benfeito-Caeli McKay menamatkan saingan di kedudukan kedua dengan 312.12 mata.

Menerusi kejayaan itu menyaksikan Malaysia sudah meraih tiga emas dalam acara terjun sepanjang menyertai Sukan Komanwel.

Dua emas sebelum ini disumbangkan Ooi Tze Liang pada edisi 2014 di Glasgow dengan Pandelela Rinong di India 2010.

Disiarkan pada: April 11, 2018 @ 10:18pm
d