arena

Taktikal, disiplin Bayern menjadi

MUNICH: Jupp Heynckes gembira dengan kemampuan Bayern Munich untuk kekal tenang di sebalik keputusan seri 0-0 menentang Sevilla yang beraksi 10 pemain dan mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara.

Gergasi Jerman itu melangkah ke peringkat empat terbaik, awal pagi tadi buat kali ketujuh dalam sembilan musim dengan kelebihan agregat 2-1 susulan kemenangan pada perlawanan suku akhir pertama di Sepanyol, minggu lalu.

Franck Ribery memperoleh peluang terbaik buat tuan rumah di Munich tetapi rembatannya tepat ke arah penjaga gol Sevilla, David Soria pada babak pertama di Allianz Arena.

Sevilla turut berpeluang menembusi gawang Bayern tetapi cubaan Joaquin Correa selepas sejam perlawanan berlangsung menerusi tandukan hanya menggegar palang sebelum dia kemudian diarah keluar padang di minit-minit terakhir permainan kerana mengasari Javi Martinez.

Martinez mengakhiri perlawanan dengan lutut yang lebam manakala James Rodriguez mengalami kecederaan paha tetapi Heynckes gembira dengan persembahan skuad kendaliannya sekali pun gagal memusnahkan pertahanan Sevilla.

“Kamu tidak boleh sentiasa bermain dengan terlalu cemerlang dan meletakkan lawan dalam keadaan tertekan, kadang kala kamu hanya perlu menghalang mereka daripada menjaringkan gol,” kata Heynckes.

“Mereka menggegar palang, yang tidak membenarkan kami untuk bertenang, tetapi kami tidak gemuruh.”

Penjaring terbanyak Bayern, Robert Lewandowski, Ribery, Jerome Boateng dan Joshua Kimmich yang semuanya memiliki kad kuning pada aksi pertama berjaya mengekalkan disiplin dan tidak dilayangkan sebarang kad pada perlawanan berkenaan.

“Kami mengekalkan disiplin kami dan tidak mengutip sebarang kad kuning sekali pun empat pemain kami berada dalam keadaan bahaya untuk digantung, jadi ia amat penting,” kata Heynckes.

Begitupun, Thomas Mueller mengakui ia malam yang mengecewakan buat Bayern dan peminat kerana mereka gagal untuk mengekang gerakan perancang Sevilla, Ever Banega.

“Untuk 20 ke 25 minit pertama permainan, kami berjaya menghalang Sevilla, tetapi banyak kali kami gagal memberikan tekanan kepada Banega,” kata Mueller.

“Memang sakit hati, kami tidak menjaringkan gol sekali pun berpeluang.”

Selepas penyingkiran Barcelona dan Manchester City - yang juga pendahulu liga Sepanyol dan England - Bayern menjadi satu-satunya pasukan di Eropah yang boleh menjulang tiga trofi musim ini.

Bayern mengesahkan kejuaraan keenam berturut-turut Bundesliga pada Sabtu lalu dan berada di separuh akhir Piala Jerman. - AFP

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 11:19am
d