arena

Tok Gajah fokus jumpa KL

Oleh Asrol Awang

KUANTAN: Skuad Pahang yang menduduki tangga kedua Liga Super kembali fokus apabila bertemu Kuala Lumpur di Stadium KLFA, Ahad ini. Perbezaan dua mata dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT) memberi motivasi terbaik buat skuad kendalian Dollah Salleh untuk merapatkan jurang mata.

Justeru, pemain pertahanan, Mohd Faisal Rosli berkata, skuad Tok Gajah sedia untuk memberi tekanan kepada JDT apabila bertemu Kuala Lumpur dengan misi mengutip tiga mata.

“Kami perlu mencatat kemenangan jika mahu bersaing di persada liga memandangkan hanya dua mata dibezakan dengan Harimau Selatan.

“Oleh itu, kembalinya saingan Liga Super memerlukan komitmen tinggi daripada rakan sepasukan untuk meraih kemenangan ke atas Kuala Lumpur. “Namun, kami tidak boleh memandang mudah perlawanan berkenaan kerana tuan rumah sudah pasti mahu mengutip tiga mata di tempat sendiri,” katanya.

Mohd Faisal atau Tocang berkata, skuad itu perlu melupakan seketika saingan Piala FA dan kembali fokus saingan Liga Super untuk meneruskan momentum kemenangan.

Katanya, sepanjang sesi latihan, jurulatih menekankan pembentukan skuad yang mantap untuk memastikan Pahang tidak kehilangan mata.

“Dari segi persediaan, kami sudah sedia untuk mengecewakan Kuala Lumpur,” katanya.

Selepas lima perlawanan, Pahang mengutip 10 mata manakala JDT dengan 12 mata.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 3:59pm
d