arena

Malaysia, Denmark penentu juara kumpulan

Oleh Ferzalfie Fauzi

PERLAWANAN terakhir peringkat kumpulan Piala Thomas antara Malaysia dan Denmark bakal menjadi penentu siapa bakal menerajui Kumpulan D sekali gus memperoleh undian mudah untuk aksi suku akhir.

Berdasarkan jadual yang dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hari ini, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D, akan berdepan juara bertahan, Denmark pada 23 Mei di Bangkok, Thailand.

Ia adalah aksi paling penting buat kedua-dua negara untuk memburu tempat selaku juara kumpulan seterusnya mengelak daripada bertemu China, Jepun dan Indonesia yang dijangka bakal menjuarai kumpulan masing-masing.

Bagaimanapun, skuad negara akan menentang Russia terlebih dulu untuk aksi pembukaan Kumpulan D, manakala Denmark berdepan Algeria pada 21 Mei.

Pada 22 Mei, skuad negara akan berdepan Algeria dan dijangka tidak bermasalah untuk mencatat kemenangan, manakala Denmark pula menentang Russia.

Malaysia dan Denmark dijangka menguasai Kumpulan D walaupun Russia mempunyai pasangan beregu lelaki nombor 12 dunia, Vladimir Ivanov-Ivan Sozonov.

Kali terakhir skuad Piala Thomas negara gagal melepasi peringkat kumpulan ialah pada 2000 ketika ia diadakan di Stadium Putra, Kuala Lumpur.

Sementara itu, untuk skuad Piala Uber, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan D akan berdepan Indonesia pada 21 Mei dan sehari selepas itu akan menentang juara bertahan, China.

Aksi terakhir pasukan wanita negara untuk saingan peringkat kumpulan adalah menentang Perancis pada 23 Mei.

“Kami tidak sabar untuk menyaksikan saingan menarik di Piala Thomas dan Uber. Kedua-dua kejohanan ini mempunyai negara yang mampu bersaing sengit dan saya tidak terkejut jika berlakunya kejutan.

“Saya mahu mengucapkan selamat maju jaya kepada semua 16 pasukan dan sebagai peminat saya tidak sabar untuk menunggu kejohanan ini membuka tirai,” kata Presiden BWF, Poul Erik Hoyer.

Pada edisi terdahulu, skuad lelaki terkandas di separuh akhir selepas tumpas kepada 2-3, manakala pasukan Piala Uber pula gagal melepasi peringkat kumpulan.

Kejohanan tahun ini berlangsung di IMPACT Arena, Bangkok, Thailand dan perlawanan akhir Piala Uber pada 26 Mei (Sabtu) dan Piala Thomas 27 Mei (Ahad).

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 9:22pm
d