arena

Syafiq-Eain Yow benam rakan senegara

Oleh Ajitpal Singh dan Nor Hairulnizam Wahid

 

MUHAMAD Syafiq Kamal-Ng Eain Yow terpaksa 'mengorbankan' rakan senegara, Nafiizwan Adnan- Ivan Yuen untuk mara ke suku akhir acara beregu lelaki di Oxenford Studios menerusi kemenangan 4-11,11-9,11-10.

Kejayaan menewaskan gandingan Uganda, Michael Kawooya-Ian Rukunya 11-2,11-2 pada aksi peringkat kumpulan membolehkan dua beregu negara itu berentap sesama sendiri sebelum Syafiq-Eain Yow memastikan kemenangan terhadap Nafiizwan-Ivan dalam tempoh 76 minit.

Mereka bakal berdepan gandingan Scotland, Alan Clyne-Greg Lobban dalam pertemuan suku akhir esok.

Sementara itu, dalam satu lagi aksi pusingan ketiga, beregu campuran Aifa Azman-Sanjay Singh tewas 11-7,6-11,8-11 kepada beregu India, Dipika Pallikal Karthik-Saurav Goshal.

Sanjay mengakui dia perlu beraksi lebih 100 peratus untuk menangani beregu India terbabit biarpun menyedari ia bukan perkara mudah.

“Saurav sentiasa berjaya mendapatkan bola, jadi saya cuba membuatkan Saurav dan Dipika 'terhimpit' menerusi gaya permainan agresif. Saya perlu sentiasa berada di depannya,” kata Sanjay.

Bagi Aifa pula, dia perlu berdepan cabaran Dipika yang mempunyai saiz badan lebih besar.

“Ia satu pengalaman yang baik bagi saya apatah lagi ini kali pertama digandingkan dengan Sanjay dalam acara beregu,” katanya.

Disiarkan pada: April 12, 2018 @ 9:36pm
d